Search This Blog


Thursday, May 28, 2009

Krisis Kepimpinan Umat (Majlis syura Ulama' Kedah)


Berikut adalah Pendirian Majlis syura Ulama' Kedah tentang isu Krisis
Kepimpinan Umat masa kini khususnya apa yang berlaku di dalam negara
kita mutakhir ini. Harap dapat renungan bersama.

MAJLIS SYURA ULAMA' KEDAH

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Assalamu 'alaikum wrh wbt.

Kepada Seluruh Kaum Muslimin dan Muslimat

PENDIRIAN ULAMA' TERHADAP KRISIS UMAT MASA KINI

Segala puji bagi Allah S.W.T Yang Maha Bijaksana, Yang Maha
Mengetahui hati dan lintasan fikiran hambaNya yang soleh mahupun
mereka yang jahat, Yang amat teiliti tentang segala tingkahlaku serta
amalan hambaNya, samada amalan yang ma'ruf mahupun yang mungkar,
Yang memelihara kemuliaan dan
melindungi ugamaNya dari sebarang rancangan dan konspirasi jahat
musuh-musuh yang berkomplot dan Yang melindungi hambaNya yang
soleh dari rancangan jahat golongan kafir dan munafiq.

Selawat dan salam ke atas Junjungan Rasulullah s.a.w yang diberi
petunjuk dan kekuatan iman, taqwa dan ruhul-jihad untuk menegakkan
yang ma'ruf dan mencegah yang mungkar dan menegakkan kalimah
Allah.

Kami dengan penuh khusyuk dan rendah diri, setelah mengamati dan
mempertimbangkan perkembangan kepimpinan umat yang sedang
dilanda krisis yang amat genting dan runcing, menegaskan pendirian
kami untuk pengetahuan semua pihak, pemerintah dan rakyat. Media dan
anggota birokrasi kerajaan
yang diamanah menjaga amanah rakyat.

Bahawa melihat kegawatan kepimpinan yang semakin runcing adalah
berpunca dari segala fitnah yang amat berat serta pendekatan
mengaibkan seseorang pemimpin secara yang tidak dibenarkan oleh
syara' telah dilakukan oleh golongan yang membolot kuasa.

Bahawa orang yang dituduh, walaupun belum didakwa, telah dihukum
bersalah dan diaibkan secara terbuka oleh seorang pemimpin tertinggi
negara melalui eksploitasi kuasa, jentera kerajaan dan media.

Bahawa suatu komplot telah berlaku untuk menghalang seorang
pemimpin yang memperjuangkan nasib rakyat bawahan, menyekat
perbelanjaan perbendaharaan negara secara tidak mengikut prosedur,
menyekat segelintir individu untuk membolot kekayaan negara,
memastikan undang-undang tidak disalah guna, menentukan amalan
diperangi habis-habisan, menentukan keburukan akhlak pemimpin
dibenteras.

Bahawa pihak media telah dieksploitasi secara paling berat sebelah dan
tidak beretika dalam membantu menghukum seorang pemimpin yang
belum lagi dibicara dimahkamah secara adil.

Bahawasanya pihak berkuasa telah bertindak keterlaluan, kasar,
mengugut dan tidak bertanggungjawab dalam menyekat rakyat
menyuarakan pandangan mereka sehingga undang-undang diguna
secara tidak bijak dan tidak berperikemanusiaan.

Maka kami dengan ini menyatakan pendirian kami dalam hal tuduhan ke
atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan dalil-dalil syara' yang perlu
dihormati semua pihak iaitu:-

1. Menuduh orang yang bersih dengan tuduhan terutama tomahan yang
besar seperti berzina, liwat dan membunuh adalah diharamkan secara
tegas oleh Islam. (Rujukan : Al-Quran, Surah Al-Ahzab : 58; Surah
An-Nur :23-25; Surah An-Nur :11-13)

2. Menjadikan saksi dari kalangan pelacur seperti yang digunakan oleh
Perdana Menteri sebagai bukti beliau bahawa Datuk Seri Anwar telah
melakukan zina adalah tertolak oleh syara berdasarkan nas A-Quran,
(Surah An-Nur : 4-5)

3. Megaibkan orang secara terbuka seperti yang dilakukan oleh Perdana
Menteri terhadap Datuk Seri Anwar adalah dilarang oleh Islam seperti
yang telah berlaku apabila Rasulullah s.a.w menyatakan kepada Ma'iz
yang mengaku berzina
"Jika engkau tutupinya dengan bajumu tentu lebih baik untuk mu" serta
sabdanya yang lain "seluruh umatku akan memperolehi pengampunan,
kecuali orang yang suka menyebarkan aib orang lain"

4. Tuduhan Perdana Menteri mengenai terhadap Datuk Seri Anwar, tidak
diperkukuhkan dengan bukti mengikut kaedah syara' yang memerlukan
empat orang saksi yang adil, tepat dan tidak berkepentingan dengan
tomahan dan melihat sendiri tertuduh sedang melakukan perbuatan
tersebut. Malah syara'
menetapkan jika sipenuduh gagal gagal menampilkan saksi sedemikian
maka ia (sipenuduh) akan dihukum dengan 80 kali sebatan rotan.
Al-Quran menetapkan kaedah itu melalui surah An-Nur 4-5.

5. Datuk Seri Anwar berhak membela diri dari tuduhan yang telah
ditohmah keatasnya secara meninggikan suara dalam menyuarakan
kebenaran. Ini dinyatakan sebagai satu keistimewaan untuk melindungi
kehormatan dan maruah diri seperti yang difirmankan Allah S.W.T, dalam
Al-Quran, surah An-Nisa : 148. Tiada boleh barangsiapapun mencegah
atau melarang orang yang dituduh daripada membela dirinya.

Kami juga dalam isu tuduhan terhadap Datuk Seri Anwar, meneliti
bahawa ia kini amat berkait isu kesinambungan masadepan kepimpinan
umat Islam. Lantaran masadepan kepimpinan umat kini telah dilanda krisis
yang amat parah, kami menetapkan:-

I. Seluruh masyarakat Islam perlu kembali teguh berpaut kepada perintah
Allah S.W.T yang menegaskan : Terjemahan : "dan berpegang teguhlah
kamu semua kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai
berai"(Surah Ali-Imran :103)
II. Seluruh masyarakat Muslim wajib menolong orang yang dizalimi dari
terus dianiaya oleh orang yang mengzalim tanpa mengira darjat atau
pangkat penzalim.

III. Setiap organisasi Islam hendaklah berusaha agar kepimpinan gerakan
Islam dinegara ini dilindungi dari komplot jahat kelompok berkepentingan
dan memusuhi gerakan Islam daripada skima mereka untuk
menghancurkan peribadi pemimpin Islam melalui penyebaran fitnah.

IV. Seluruh umat Islam perlu bangun dan menyatakan pendirian
menentang kezaliman dan ketidakadilan secara berani serta tegas.

V. Pihak kerajaan hendaklah memberhentikan tindakan penahanan
dibawah ISA dan membebaskan tahanan yang dikaitkan dengan isu
Datuk Seri Anwar.

VI. Pihak berkuasa perlu membawa perbicaraan Datuk Seri Anwar dalm
hal tuduhan zina dan liwat melalui perbicaraan mahkamah syariah kerana
sememangnya terdapat peruntukan yang memberi bidang kuasa kes
tersebut dibicara dalam mahkamah syariah dan bukan mahkamah sivil.

VII. Pemerintah yang berlaku tidak adil dalam menuduh seseorang,
melengah-lengahkan perbicaraan, menghukum sebelum perbicaraan
bermula, serta menghalang hak rakyat untuk mendapat maklumat yang
benar perlu dipersoalkan kembali mandat kepimpinan yang diberi oleh
rakyat. Jika
keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan sudah luntur, umat perlu
menyatakan pendirian bahawa suatu pemilihan kepimpinan yang baru
perlu dilaksanakan.

VIII. Mengingatkan umat Islam bahawa kepimpinan negara tidak boleh
dibiarkan jatuh ke tangan mereka yang mencemburui dan memusuhi
gerakan Islam. Oleh itu usaha mengembalikan kekuatan dan kewibawaan
kepimpinan Islam hendaklah dilancarkan.

IX. Seluruh rakyat Islam perlu bertindak secara teliti menyemak semua
propaganda palsu serta menyaring maklumat-maklumat media yang nyata
amat cenderung untuk terus menghina dan meragui kepimpinan peribadi
Islam yang difitnah dan dihukum secara paling tidak adil.

X. Menuntut kerajaan agar suatu Badan Penyiasat Berkecuali
(Suruhanjaya Siasatan Khas) ditubuhkan yang tidak boleh dipengaruhi
oleh pujukan atau ugutan oleh penguasa atau ganjaran atau ancaman
daripada pemerintah dalam hal pendedahan Datuk Seri Anwar bahawa
ujud konspirasi politik untuk menjatuhkannya.

Sekian.

* Pendirian ini telah ditaip semula daripada salinan faks yang diterima.
Sila perbanyakkan dan edarkan kepada masyarakat umum.

No comments: